Kesan / Akibat Meminum Minuman Keras
Kesan minum arak dan alkohol. Alkohol bukan sahaja boleh
memabukkan, tetapi juga mampu memudaratkan kesihatan diri sekiranya
diamalkan berterusan. Ia umpama kombinasi dadah dan racun kepada badan
kita. Malahan hampir setiap agama di dunia ini turut melarang tabiat
tersebut di kalangan para penganutnya. Kesan ketagihan akibat meminum
alkohol bukannya bergantung kepada jenis alkohol tetapi jumlah yang
diminum pada satu-satu masa.
Manakala ilmuan Islam iaitu Abdul Laith Assamarqandi berkata dalam
kitabnya Tanbihul Ghafilin: “ Awaslah kamu dari meminum arak kerana ia
mengandungi sepuluh bahaya:
1. Peminumnya berkelakuan seperti orang gila dan menjadi bahan ketawa
anak-anak kecil dan tercela di kalangan orang-orang berakal.
2. Memboroskan harta dan merosakkan akal.
3. Menyebabkan permusuhan dengan kawan-kawan.
4. Terhalang daripada mengingat Allah dan sembahyang.
5. Terdorong melakukan zina kerana dalam keadaan mabuk si peminum mungkin menceraikan isterinya tanpa disedari.
6.Arak adalah pembuka bagi segala kejahatan.
7. Perbuatan meminum arak mengganggu Malaikat yang menjaga si peminum disebabkan kefasikan dan bau busuk arak yang diminumnya.
8. Dikenakan hukuman dera 80 kali di dunia dengan disaksikan oleh keluarga dan teman-teman.
9. Perbuatan meminum arak menutup pintu langit disebabkan segala kebaikan dan doanya tidak terangkat ke langit selama 40 hari.
10. Membawa akibat buruk terhadap diri si peminum kerana ditakuti tercabut imannya ketika mati.
Ini telah banyak dibuktikan melalui kajian-kajian ilmiah samaada
darisegi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukan kebenaran yang
jelas bahawa sesetengah jenayah dan keruntuhan akhlak dan moral yang
berlaku dalam masyarakat di antara lain berpunca dari gejala arak.
Meminum arak boleh membawa akibat-akibat yang sangat buruk terhadap diri
peminum, keluarga dan masyarakat.
Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada penagih alkohol
terhadap kesihatan dan perhubungan sosial, bagi individu yang meminum
arak iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang. Kesan jangka pendek
pengambilan alkohol lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang
itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan
tidak boleh membuka pintu. Dalam masa yang singkat ini juga boleh
menyebabkan hangover. Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan
alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol.
1.
Kesan dari segi Kesihatan:
Tanda-tanda hangover alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah,
cirit birit, gangguan pergerakan usus dan menggeletar selama 8 – 12 jam
kemudian Kesan jangka panjang akan dirasai selepas meminumnya selama
beberapa bulan atau tahun. Kesan utama adalah seperti sakit jantung,
hati atau penyakit dalam perut. Bila situasi ini berlaku mereka akan
kurang selera makan, kekurangan vitamin, jangkitan penyakit, mati pucuk
atau kekurangan haid. Kematian yang awal adalah lebih kerap pada orang
yang kuat minum, terutamanya daripada sakit jantung atau hati, radang
paru-paru, kanser, keracunan alkohol yang teruk, kemalangan, pembunuhan
dan pembunuhan diri.
2.
Kesan Pada anggota Tubuh Badan:
a)
Kesan pada otak
1) Selepas minum, alkohol akan meresap dari usus kecil ke dalam darah.
Alkohol terus dibawa ke jantung yang kemudiannya mengepam darah
beralkohol tadi ke seluruh tubuh. Dari sini ia terus meresap ke dalam
otak dan seterusnya ke urat saraf. Otak merupakan salah satu organ
penting yang dimiliki oleh manusia kerana otaklah yang mengawal segala
pergerakan dan perlakuan seseorang dan dengan kemasukan bahan asing ini
ke dalamnya ia akan mempengaruhi pergerakan dan kelakuan peminumnya.
2) Menyebabkan berlakunya penindasan kawasan-kawasan yang biasanya
mengawal maruah dan disiplin diri sehingga peminum mula merasa kurang
sifat malu, fikiran bercelaru, dan pergerakannya pula agak tidak
terkawal.
3) Kurang keupayaan dari segi belajar, membentuk idea spontan,
menumpukan fikiran, dan membuat pertimbangan yang teliti. Semakin banyak
jumlah alkohol yang diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan
boleh menyebabkan tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian.
b)
Kesan pada hati
1) Setiap kali seorang peminum meminum alkohol, hati akan mengalami
kecederaan (mendapat luka). Sel hati akan mati dan menjadi parut. Parut
ini akan mengurangkan kemampuan hati untuk berfungsi dengan sempurna.
Parut yang serius akan menyebabkan hati tidak dapat berfungsi langsung.
Keadaan ini disebut sirosis hati dan boleh membawa maut.
2) Bengkak hati (hepatitis) juga boleh berlaku disebabkan oleh
lebihan toksik alkohol. Pada mulanya ia menyebabkan hati mengembang dan
lama kelamaan saluran darah akan mengecut. Ini menyebabkan darah tidak
dapat mengalir ke hati dengan sempurna dan akhirnya saluran darah akan
membengkak lalu pecah. Pada peringkat kritikal, penghidap hepatitis akan
mengalami muntah darah dan najis mereka akan bercampur dengan darah.
Kesan pada perut Alkohol menyebabkan kerengsaan perut (gastritis) yang
akhirnya boleh membawa kepada ulser. Bagi mereka yang memang menghidapi
ulser perut, sakitnya akan menjadi semakin teruk.
c)
Kesan pada saraf
1) Boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sindrom
Wernicke-Korsakoff dan kerosakan sel-sel otak, yang seterusnya membawa
kepada komplikasi psikiatri. Peminum boleh mengalami halusinasi
pendengaran, amnesia, paranoia, depresi dan kecenderungan membunuh diri.
d)
Kesan pada janin dan anggota lain dalam tubuh badan:
1) Peminum alkohol kronik yang sedang hamil boleh menyebabkan
kandungannya mempunyai ciri-ciri kecacatan seperti kekurangan berat
badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, kurang
penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan sendi-sendi.
2) Bertindak dengan pelbagai sistem dan organ tubuh. Contohnya, kesan
terhadap sistem peredaran tubuh menyebabkan darah lebih banyak
dialirkan ke kulit. Ini menyebabkan kulit peminum menjadi
kemerah-merahan dan perpeluhan meningkat. Pengepaman jantung juga
bertambah pantas dan kuat seperti individu yang sedang melakukan
senaman. Kepada penghidap penyakit jantung, mereka mempunyai kemungkinan
diserang penyakit itu.
3) Lebih cenderung membuang air kecil dengan kerap kerana etanol boleh merencat hormon penahan kencing.
4) Mungkin mengalami anemia, hipoglisemia (kekurangan gula di dalam darah), dan ketandusan vitamin.
5) Boleh meningkatkan risiko kanser sebanyak 15 kali terutamanya pada bahagian mulut dan tekak.
6) Apabila diminum dengan banyak arak boleh merosakkan selaput lendir
perut dan menjadi racun yang meresap dengan cepat ke dalam bahagian
tubuh manusia terutama jantung dan buah pinggang.
7). Meminum arak boleh menjadikan seseorang itu mendapat sesak nafas yang akan menganggu alat pernafasan.
8). Meminum arak ketika perut kosong atau sebelum sarapan boleh menyebabkan berlakunya barah dalma perut.
9). Boleh menyebabkan tekanan darah tinggi (
hypertension) yang boleh menyebabkan serangan mengejut (
stroke ) dan penyakit jantung.
10). Boleh menghilangkan ingatan seseorang dan menjadikan ianya kurang siuman dan hilang harga diri.
3.
Kesan dari segi Keagamaan:
Peminum minuman keras biasanya akan melupakan semua kebaikan,
mengabaikan dirinya dari mengerjakan ibadat sembahyang dan mengingati
Allah Taala dapat menghancurkan moral, meruntuhkan akhlak dan melemahkan
perasaan dan semangat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang
manusia yang dipandang mulia, waras dan berakal.
Keimanannya makin lama akan berkurangan, segala maksiat dan kejahatan
menjadi sebati dan dianggap baik untuk dilakukannya. Dan jika mati
dalam keadaan mabuk sudah pasti kerugian yang amat besar diperolehnya
kerana tidak sempat bertaubat dan memungkinkannya menjadi kufur,
sebagaimana hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang
diriwayatkan oleh Iman Al Hakim:
Ertinya: “
Barangsiapa melakukan zina atau meminum arak, maka
Allah Taala akan lucutkan imannya dari dirinya sebagaimana seseorang
membuka baju dari kepalanya”.
4.
Kesan terhadap kerukunan rumahtangga:
Minuman Keras juga dapat menjejaskan kehidupan aman berumahtangga
apabila wang perbelanjaan keluarga akan dihabiskan semata-mata menurut
hawa nafsu ketagihan arak. Pertelingkahan akan sering terjadi di antara
suami isteri dan seluruh keluarga yang terlibat. Suami yang mabuk
disebabkan arak ini sudah pasti tidak dapat lagi menjalankan
tanggungjawab sebagai seorang ketua dalam rumahtangga dengan baik.
Anak-anak akan menjadi mangsa kurangnya penjagaan, Pengawasan dan
pemedulian orang tuanya. Apabila keadaan sudah terjadi begini, anak-anak
akan kurang didikan yang sempurna dan akibatnya anak-anak akan kurang
didikan yang sempurna dan tercicir dalam bidang pelajaran oleh itu
timbul masalah-masalah gejala sampingan antaranya ponteng sekolah,
menjadi anak-anak nakal, tidak lagi menghormati orang tua dan lain-lain
kesan negatif. Ini adalah disebabkan keluarga yang keadaannya sudah
kucar-kacir dan tidak lagi mengutamakan cara hidup yang betul dan
hilanglah kerukunan hidup berkeluarga disebabkan pengaruh anak yang
sangat bahaya.
5.
kesan terhadap masyarakat:
Apabila seseorang itu meminum minuman keras secara terus menerus, ini
bererti ianya telah ketagihan dan tidak dapat melepaskan dirinya dari
cengkaman arak. Dengan demikian, si peminum akan bertambah sesat, hilang
pengawalan terhadap diri sendiri dan orang-orang yang berada di
sekitarnya. Pengaruhnya yang sangat bahaya terhadap saraf-saraf otak di
mana boleh mengakibatkan seseorang penagih tidak mampu mengendalikan
diri, tingkah laku dan hilang pula rasa malu. Maka dalam hal ini hilang
kesinambungan diri dan jauh dari nilai-nilai akhlak dan timbul pula
keberanian untuk melakukan tindakan-tindakan negatif terhadap orang
lain. Antaranya timbulnya permusuhan dan kebencian di kalangan
teman-teman dan masyarakat sekelilingnya. Keamanan dan keselamatan
masyarakat akan tergugat apabila terjadinya perkara-perkara sumbang,
merosakkan rumahtangga orang lain dan bermacam-macam lagi akibat buruk
akan terjadi disebabkan oleh arak. Sebagaimana Sabda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam:
Ertinya: “
Janganlah kamu meminum arak kerana arak adalah kunci segala kejahatan”.
6.
Kesan terhadap keselamatan umum:
Kesan yang jelas di sini ialah apabila seorang peminum arak yang
mabuk memandu kenderaan di jalan raya adalah satu keadaan yang sangat
merbahaya, baik terhadap diri peminum itu sendiri mahupun orang ramai.
Kemalangan atau kecelakaan lalulintas akan berlaku yang mana boleh
mengakibatkan kecerderaan dan menyebabkan kematian orang yang tidak
berdosa. Malah si peminum arak itu sendiri akan mengalami kecederaan
atau kecacatan pada anggota tubuh badannya, kurang siuman sekiranya
mengenai bahagian otaknya paling malang lagi apabila membawa kepada
kematian si peminum itu sendiri.
Selain itu, kesan-kesan yang buruk yang boleh berlaku akibat meminum
arak seperti boleh melibatkan kestabilan ekonomi, keamanan dan berlaku
kehuru-haraan dalam sesebuah negara apabila penagih-penagih arak wujud
di dalam sesebuah sector kerajaan atau swasta yang mana boleh membawa
kepada penyalahgunaan kuasa, hartabenda, penyelewengan wang negara,
pecah amanah dan sebagainya.